kau dan masa
09 November, 2008
kau terlantar dan termenung di kamarmu yang selesa itu. kau sedang bingung, buntu dan tidak tentu arah. mindamu asyik berfikir mengenai satu persoalan. berlegar-legar ia bermain di fikiran mu, dan kau terus mengelamun jauh mencari jawapan,
"apa yg patut aku lakukan sekarang ya?"
sedang kau sibuk mengelamun,berfikir, masa bergerak meningggalkan mu. detik demi detik, langkah demi langkah, perlahan-lahan ia berlalu. perlahan, tetapi konsisten. setiap langkah adalah sama seperti langkah seterusnya. teratur dan kemas. tetap ia pada haluannya, tidak pernah ia terpesong.
kau akhirnya mendapat jawapan pada persoalanmu. kau sudah tahu apa yang kau perlu lakukan. kau sudah jelas sekarang. maka kau bangkit dari kamarmu. bangkit untuk mengatur langkah seterusnya. untuk bertindak.
tiba-tiba kau sedar, sesuatu yang kau perlukan sudah tiada. masa. tatkala kau sedang termenung, masa sudah jauh ke hadapan. sudah terlalu jauh, dan tak mungkin kau berupaya mengejarnya. apa sahaja yang kau mahu lakukan kini sudah tidak dapat dilaksanakan, kerana kau sudah tiada masa.
maka kau biarkan kekecewaan menyelubungi dirimu. kau menyesal, kau mengeluh. kau mula merasakan yang kau telah berlengah-lengah dulu. bahawa kau telah melepaskan peluang. kau merasakan yang kini segalanya tidak mungkin, maka kau terperosok di kamarmu dengan segala kesedihan dan kekecewaan.
ketika itu, masa terus berlalu. terus melangkah pergi. terus istiqamah dengan perjalanannya. tidak sekali pun ia berhenti. tidak sekali pun ia memperlahankan langkahnya. ia tetap bergerak dengan kelajuan yang sama.
tiba-tiba, kau mendapat satu keazaman. satu semangat. kau tidak mahu terus bersedih. kau merasakan sekarang masih sempat. keadaan masih boleh diperbaiki. kau tidak mahu terus kecundang. kau mahu bangkit.
maka, segera kau bangun dari kamarmu. kau pantas mengatur langkah. menjana visi dan merangka strategi. kau yakin yang kau mampu melakukannya.kau percaya bahawa kini segalanya mungkin. kau kini sudah mendapat kekuatan, tiada siapa pun yang mampu menghalangmu.
akan tetapi, sekali lagi, kau dapati masa tidak bersamamu. bahkan, ia lebih jauh daripada dulu. hanya sayup-sayup sahaja kelihatan bayangnya dari kejauhan, terus melangkah dengan tenang dan teratur. terus melangkah dengan satu haluan yang lurus, ke hadapan.
kau cuba memanggilnya pulang. kau merayu, mengatakan yang kau memerlukannya, yang kau tidak mampu untuk melakukan apa-apa pun tanpanya. akan tetapi, tidak sekali pun masa membalas sahutanmu. tidak juga ia memperlahankan langkahnya. ia tidak pernah menoleh ke belakang untuk sesiapa pun, dan ia tidak akan menoleh ke belakang untuk kau.
maka, api harapan dan keyakinan yang marak menjulang sudah pun padam disimbah hujan kekecewaan. semangatmu patah umpama ranting kayu kering yang dipijak. segala visi dan motivasi yang mengelilingi dirimu sudah lenyap umpama kabus pagi yang dimamah terik mentari.
kau pun kembali berbaring di kamarmu. kau kembali ke keadaan asalmu, buntu dan bingung. kau mengelamun semula. termenung, termenung dan termenung lagi.
"apa yang patut aku lakukan sekarang?"
dan masa terus melangkah pergi meninggalkanmu...
Posted bySyafiq Ridhwan at 7:45 PM
okayy...kesimpulannyan,jgn tangguh2 dah,start rite now!now!bye rayap,nk gi start sekarang..haha> bdw,aku kdg2 macam ape yg ko tulis tu..now ni kurang dh sket kot..kot
ape yap....gundah gle...plik tul
ok, this is a serius post.! *speechless*
kejarlah masa.
kita dh tua lagipun.
dan x masuk uni lagi. har2x.